Website Informasi & Review Satu Sabah

Sabah ialah satu daripada 13 negeri yang terdapat di Malaysia dan merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak yang terletak di utara pulau Borneo, iaitu pulau ketiga yang terbesar di dunia. Sabah juga sering dirujuk sebagai “Negeri di Bawah Bayu” kerana kedudukan negeri tersebut yang sangat strategik di bawah laluan angin monsun.

Sesetengah teori mengatakan bahawa Sabah pernah dirujuk sebagai Seludang dalam teks 1365 Jawa yang dikenali sebagai Nagarakretagama ditulis oleh Empu Prapañca.

Asal-usul nama “Sabah” dikatakan kurang jelas, dan terdapat banyak teori yang telah timbul. Salah satu contoh teori ialah ketika Sabah masih di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, ia dirujuk sebagai Saba kerana kehadiran pisang saba, nama sejenis pisang yang dinamakan ‘pisang Saba’ oleh masyarakat Bajau kerana pisang tersebut banyak sekali ditanam di sekitar pantai barat Sabah.

Satu lagi teori mengatakan bahawa ia datang daripada Sabak, perkataan Melayu yang ertinya tempat di mana gula kabung diekstrak. Sabah juga merupakan perkataan Arab yang bermaksud matahari terbit. Kehadiran pelbagai teori ini menjadikan ia sukar untuk menentukan asal sebenar nama negeri ini.